Inisiatif

Peristiwa
15/7/26
Isu
Selangor
Negara

Pelancaran Program Ambulans Kita Selangor Fasa 2

Alhamdulillah, hari ini saya telah menyempurnakan Pelancaran Program Ambulans Kita Selangor (AKS) Fasa 2 serta memperkenalkan Bunga Tanjung sebagai Ikon Kesihatan Awam Negeri Selangor.

Program Ambulans Kita Selangor adalah antara ikhtiar Kerajaan Negeri untuk memastikan tiada rakyat tercicir daripada menerima rawatan hanya kerana kekangan pengangkutan. Inisiatif ini menyediakan perkhidmatan ambulans percuma bagi kes bukan kecemasan, khususnya buat pesakit kronik, warga emas dan pesakit terlantar yang memerlukan bantuan untuk menghadiri temu janji rawatan atau urusan pemindahan perubatan.

Bermula 1 Julai lalu, AKS Fasa 2 telah diperluaskan ke kesemua sembilan daerah di Selangor, meliputi 56 kawasan DUN, selain memperluaskan perkhidmatan kepada semua 86 Klinik Kesihatan di negeri ini, berbanding hanya 23 fasiliti kesihatan kerajaan sebelum ini. Dengan peruntukan RM1 juta, Kerajaan Negeri terus bekerjasama dengan St. John Ambulans Malaysia bagi memastikan perkhidmatan ini dapat dimanfaatkan secara lebih menyeluruh dan berkesan.

Bagi keluarga yang berdepan cabaran kewangan, kos pengangkutan ke hospital sering menjadi beban sehingga ada yang terpaksa menangguhkan rawatan. Keadaan ini tidak seharusnya berlaku. Akses kepada perkhidmatan kesihatan adalah hak setiap rakyat, bukan bergantung kepada kemampuan kewangan.

Pada masa yang sama, Bunga Tanjung turut diperkenalkan sebagai bunga rasmi Ikon Kesihatan Awam Negeri Selangor. Ia melambangkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri untuk memperkukuh budaya hidup sihat, memperluaskan akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti serta membina masyarakat yang lebih sihat, sejahtera dan berdaya tahan.

Kerajaan Negeri akan terus memastikan pembangunan Selangor bukan sahaja diukur melalui pencapaian ekonomi, tetapi juga melalui keupayaan kita melindungi kebajikan rakyat dan meningkatkan kualiti hidup mereka.

No items found.
Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.