Inisiatif

Terkini
7/10/22
Selangor
KDNK

My Metro: Selangor yakin capai pelaburan masuk RM10 bilion

Kuala Lumpur: Kerajaan Negeri Selangor yakin dapat mencapai pelaburan masuk berjumlah RM10 bilion pada tahun ini walaupun kekal berhati-hati terhadap keadaan ekonomi global, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurutnya, unjuran itu berdasarkan peningkatan pelaburan masuk bagi tempoh enam bulan pertama 2022 untuk Malaysia dan negeri itu.

Bagi tempoh separuh pertama itu, Selangor meraih pelaburan diluluskan bagi sektor pembuatan yang bernilai RM4.9 bilion, termasuk pelaburan langsung asing (FDI) RM3.3 bilion.

Angka tersebut adalah lebih separuh daripada RM7.5 bilion pelaburan sektor pembuatan yang diluluskan bagi tahun penuh 2021, katanya ketika berucap pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2022 (SIBS) di sini, hari ini.

Dalam separuh pertama 2022, Malaysia berjaya menarik pelaburan berjumlah RM43.1 bilion dalam sektor pembuatan termasuk FDI sebanyak RM35.5 bilion.

Beliau berkata, FDI juga telah pulih ke paras sebelum pandemik pada 2021 dengan nilai keseluruhan mencecah US$1.6 trilion.

"Selain itu, janji niaga rentas sempadan dan pembiayaan projek antarabangsa juga kukuh, didorong oleh persekitaran kewangan lebih mudah serta rangsangan prasarana," katanya.

Amirudin berkata krisis tenaga global yang dicetuskan oleh krisis ketenteraan Rusia-Ukraine, tekanan inflasi dan langkah memperketat dasar monetari di negara-negara maju selain kelembapan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dunia, adalah antara risiko terhadap prospek masa depan dunia.

Bagaimanapun, beliau berkata ASEAN masih dianggap sebagai destinasi dagangan dan pelaburan yang menarik berdasarkan ekonominya yang berdaya tahan, peningkatan kelas pertengahan serta golongan muda.

Malah, ASEAN juga berpeluang untuk merangkul semula kedudukannya sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan utama ketika dunia bergerak ke arah pembukaan semula ekonomi.

"SIBS 2022 ini membolehkan Selangor menjadi peneraju bagi membantu usaha pemulihan ekonomi dan penciptaan semula, bukan hanya untuk negeri ini tetapi bagi semua rakan di Malaysia serta ASEAN," katanya.

Menurut maklumat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), perdagangan Malaysia dengan negara-negara ASEAN melonjak sebanyak 43.6 peratus kepada RM514.73 bilion dalam tempoh lapan bulan pertama 2022, berbanding tempoh sama, tahun lepas.

Eksport ke ASEAN turut menokok 38.1 peratus manakala import meningkat 51.5 peratus bagi tempoh tersebut.

Bagi Ogos 2022, dagangan Malaysia dengan ASEAN berjumlah RM70.9 bilion yang menyumbang 26.7 peratus daripada jumlah dagangan negara bagi bulan tersebut.

Amirudin juga menyifatkan Selangor sebagai lokasi terbaik di rantau ini bagi kalangan pelabur yang berhasrat menembusi pasaran ASEAN serta antarabangsa.

"Bagi memastikan ekonomi negeri dan seterusnya negara ini kekal berdaya tahan dan pada asas pemulihan yang kukuh, Selangor baru-baru ini melancarkan rancangan pembangunan selama lima tahun, Rancangan Selangor Pertama atau RS-1,'' katanya.

Di bawah perancangan itu, kerajaan negeri telah mengenal pasti sembilan industri berimpak tinggi yang dapat melonjakkan serta memperkukuh pembangunan ekonomi Selangor -- pelabuhan dan logistik, ekonomi digital, aeroangkasa, elektrikal dan elektronik, mekanikal dan kejuruteraan, halal, automotif, sains hayat, pelancongan dan agroteknologi.

Sementara itu, Exco Industri dan Perdagangan Negeri Selangor Datuk Teng Chang Khim berkata acara SIBS telah melonjak secara ketara sejak pertama kali diadakan pada 2015 dan edisi keenamnya turut dilabelkan sebagai sidang kemuncak perniagaan terbesar pernah dianjurkan di rantau ini.

SIBS 2022 meliputi enam acara utama -- Sidang Kemuncak Antarabangsa Makanan dan Minuman Selangor, Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor; Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan serta Inovasi Selangor dan Ekspo Taman Perindustrian Selangor.

Turut diketengahkan adalah tiga acara lain iaitu Festival Kulinari Antarabangsa Selangor, Persidangan Penjagaan Kesihatan Antarabangsa dan Persidangan Bandar Pintar Asia.

"SIBS 2022 menampilkan sejumlah 906 reruai daripada 623 syarikat yang merupakan satu sejarah dengan peserta mewakili 24 negara, juga pencapaian baharu bagi acara empat hari tersebut," katanya.

Teng juga yakin penyertaan 262 pembeli antarabangsa dan domestik selain pengunjung perdagangan ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur Convention Centre akan turut membolehkan sasaran nilai transaksi rundingan 2022 bernilai RM350 juta itu dapat dicapai.

Seramai 30,000 pelabur juga dijangka mengunjungi SIBS 2022 berkenaan.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.