Inisiatif

Peristiwa
23/3/21
Selangor

My Metro: SAS 2021 sasar 30 pempamer

Kuala Lumpur: Selangor menyasarkan peningkatan industri aeroangkasa dan industri penerbangan di negeri itu tahun ini berdasarkan kepada beberapa inisiatif yang dilaksanakannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Bhd (Invest Selangor), Datuk Hasan Azhari Idris berkata, ketika ini negeri itu juga adalah hab utama kepada sektor itu dengan lebih daripada 62 peratus firma berkaitan industri itu berada di Selangor.

Beliau berkata, pihaknya juga menyasarkan menjelang akhir tahun ini jumlah firma berkaitan aeroangkasa dan penerbangan akan meningkat kepada 70 peratus daripada keseluruhannya di Malaysia.

"Selangor sudah menggariskan 30 rancangan tindakan di bawah Pelan Tindakan Aeroangkasa Selangor yang akan dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan dan negeri bagi meletakkan Selangor sebagai hab utama industri aeroangkasa di Asia Tenggara.

"Tumpuan utama adalah dalam penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta latihan berkaitan industri. Salah satu tindakan yang akan dilaksanakan adalah penganjuran Selangor Aviation Show (SAS) 2021.

"Walaupun pelaburan berkaitan industri ini agak sedikit perlahan pada tahun lalu, tetapi Invest Selangor optimis pelaburan aeroangkasa akan meningkat kembali bermula tahun ini," katanya selepas pelancaran SAS 2021 di sini, semalam.

Majlis dilancarkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan & Perindustrian dan Industri Kecil Dan Sederhana (IKS) Selangor, Datuk Teng Chang Khim.

Sementara itu, Chang Khim berkata, bertemakan 'Selangor, the ASEAN Business & General Aviation Hub, SAS 2021 adalah pameran yang bakal menjadi pemangkin menghidupkan semula industri dalam persekitaran pasca Covid-19.

Beliau berkata, SAS 2021 menyasarkan pembabitan lebih 30 pempamer dalam dan luar negara dengan 5,000 pengunjung sepanjang acara yang berlangsung pada 12 hingga 14 Ogos depan.

Katanya, penganjuran SAS 2021 ini akan terus mengukuhkan Selangor sebagai negeri yang mempunyai ekosistem lengkap industri aeroangkasa.

"Digelar sebagai kawasan pertumbuhan utama penerbangan dan aeroangkasa, Selangor mempunyai ekosistem yang kondusif, menempatkan lebih daripada 200 syarikat aeroangkasa dan penerbangan merangkumi pelbagai aktiviti.

"SAS 2021 juga akan membuka peluang jalinan kerjasama syarikat tempatan dan antarabangsa sekaligus meningkatkan lagi pelaburan aeroangkasa," katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.