Suara

COVID-19
26/2/21
Isu
Selangor
Negara

My Metro: 6 hospital di Selangor dijadikan pusat simpanan vaksin Covid-19

Shah Alam: Sebanyak enam hospital di Selangor dijadikan sebagai Pusat Simpanan Vaksin (PSV), kata Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata, hospital terbabit adalah Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR), Hospital Serdang, Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang dan Hospital Tanjung Karang.

Selain itu katanya, sebanyak 70 fasiliti Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah dikenal pasti sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

"Ini membabitkan sebanyak 14 hospital termasuk dua hospital pengajar (Hospital Perubatan UPM dan Hospital UITM) dan 56 klinik kesihatan," katanya ketika berucap pada Pelancaran Program Imuninasi Vaksin Covid-19 Peringkat Negeri Selangor di Hospital Shah Alam, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Shaa'ri Ngadiman.

Selain fasiliti kesihatan yang akan menjadi pusat pemberian vaksin beliau berkata, pihak negeri sedang mengenalpasti kemudahan yang terdapat di daerah sebagai tempat untuk pemberian vaksin berskala besar.

"Ini bagi pelaksanaan pemberian imunisasi Covid-19 untuk fasa 2 dan fasa 3 seperti dewan orang ramai dengan kemudahan teknologi maklumat dan telekomunikasi serta sokongan sumber manusia atau sukarelawan bagi memastikan kejayaan program imunisasi vaksin Covid-19 di negeri Selangor," katanya.


Beliau berkata, setakat ini, seramai 1,979 vaksinator dikenal pasti di seluruh Selangor bagi memberi suntikan vaksin Covid- 19 kepada mereka yang layak untuk penerimaan vaksin ini.

Pada program itu, Dr Noor Azmi menjadi antara 42 individu terawal di Selangor yang menerima suntikan vaksin keluaran Pfizer-BioNTech.

Beliau menerima suntikan bersama Amirudin; EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' Nor Azmie Diron, Dr Sha'ari dan Penasihat Undang-Undang Kerajaan Selangor, Datuk Salim Soib@Hamid.

Keenam-enam individu terbabit menerima suntikan dos pertama pada jam 1.40 petang oleh vaksinator dari Pejabat Kesihatan Daerah Petaling di Auditorium Hospital Shah Alam, di sini.


Sebaik disuntik, mereka dibawa ke ruangan khas untuk dipantau selama 15 hingga 30 minit jika terdapat simptom atau kesan sampingan sebelum pelepasan diberikan.

Pada 21 Februari lalu, sebanyak 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dari kilang di Belgium.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.