Media

COVID-19
11/1/21
Isu
Selangor
Negara

My Metro: 5 kluster baharu

Berita terbit di hmetro.com.my pada 10 Januari 2021

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan lima kluster baharu berkaitan Covid-19 yang dikenal pasti di Selangor, Sabah dan Kelantan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster pertama dikenali Kluster Tapak Bina Cyber membabitkan daerah Sepang, Petaling, Klang dan Hulu Langat.

"Kes dalam kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 31 Disember lalu hasil saringan bersasar di sebuah tapak binaan.

"Setakat ini 140 individu disaring dengan 67 kes dikesan positif," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, kluster kedua dikenali sebagai Kluster Texmile membabitkan daerah Gombak.

Menurutnya, kes positif Covid-19 dalam kluster itu dikesan pada 9 Januari lalu hasil saringan bersasar di sebuah kilang dan setakat ini seramai 19 kes positif dilaporkan.

Tambah beliau, kluster ketiga adalah Kluster Jalan Sibuga di Sandakan, Sabah dengan kes indeks (kes ke-125,813) dilaporkan positif Covid-19 pada 7 Januari lalu hasil saringan individu bergejala dan sehingga hari ini sembilan individu dikesan positif daripada 80 individu disaring.

Katanya, dua kluster dilaporkan di Kelantan iaitu Kluster Alor Durian membabitkan daerah Tumpat dan Kota Bharu serta Kluster Wakaf Lanas di Pasir Puteh susulan rentas negeri.

"Kes indeks Kluster Alor Durian (kes ke-125,408) dilaporkan positif Covid-19 pada 6 Januari hasil saringan rentas negeri. Sehingga hari ini, sejumlah 77 individu disaring dan 17 daripadanya dikesan positif.

"Kes indeks Kluster Wakaf Lanas (kes ke-122,818) pula dilaporkan positif Covid-19 pada 5 Januari hasil saringan rentas negeri. Sehingga hari ini, sejumlah 29 individu disaring dan 11 daripadanya dikesan positif," katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.