Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor
Membuka Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor pagi ini dengan menjawab pertanyaan lisan daripada YB Puan Michelle Ng Mei Sze berhubung kesan konflik Asia Barat terhadap Negeri Selangor, yang turut dijawab bersekali dengan 13 soalan lain dalam topik yang sama.
Krisis geopolitik Asia Barat serta gangguan di Selat Hormuz memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan global. Justeru, Kerajaan Negeri bertindak proaktif melalui pendekatan menyeluruh:
1. Melindungi rakyat yang paling terkesan dengan tekanan kos sara hidup termasuk aspek makanan asas, pengangkutan dan sokongan kepada pesawah, petani serta nelayan.
2. Memastikan kelangsungan industri utama seperti logistik, pembinaan dan pembuatan yang bergantung kepada bahan api dan rantaian bekalan global.
3. Melaksanakan semakan segera Belanjawan Selangor 2026 serta pengawalan perbelanjaan secara berhemah termasuk mengehadkan lawatan rasmi, mengoptimumkan penggunaan tenaga dan mengutamakan penyelenggaraan aset.
Sebagai langkah segera, Kerajaan Negeri turut menggerakkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor (Fasa 1) bernilai RM131 juta yang memfokuskan kepada:
• Menangani kos sara hidup
• Mengawal inflasi
• Mengukuhkan keterjaminan makanan
• Meningkatkan penggunaan pengangkutan awam
• Menyalurkan bantuan bersasar kepada rakyat
Dalam masa sama, Pasukan Petugas Khas Krisis Tenaga yang dianggotai pakar-pakar ekonomi dan industri ditubuhkan bagi memastikan setiap keputusan berasaskan data dan perkembangan semasa.
Kerajaan Negeri juga melihat krisis ini sebagai dorongan untuk mempercepatkan agenda jangka panjang termasuk diversifikasi sumber tenaga seperti solar dan hidrogen, pemodenan sektor pertanian, serta peralihan kepada teknologi kenderaan elektrik.
Selangor mesti kekal tangkas dan adaptif. Dalam ketidaktentuan global, keutamaan kita jelas, melindungi rakyat, memastikan ekonomi terus berdaya tahan dan memanfaatkan setiap peluang yang muncul daripada cabaran ini.











