Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Selangor Bil. 2/2026
Mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Selangor (MTPNg) Bilangan 2 Tahun 2026 pagi ini bagi meneliti pelaksanaan projek pembangunan serta tindakan susulan berkaitan isu-isu utama yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat Negeri Selangor.
Menjunjung titah DYMM Sultan Selangor sempena pembukaan Persidangan Dewan Negeri Selangor yang lalu, Kerajaan Negeri akan terus memberi perhatian serius terhadap isu tebatan banjir, pengurusan jalan raya, pembangunan industri sisa kepada tenaga serta pelaksanaan projek-projek pembangunan yang memerlukan pemantauan rapi dan tindakan segera.
Mesyuarat turut meneliti keputusan hasil Mesyuarat Pembangunan Negeri Selangor dan Daerah Petaling bersama YAB Perdana Menteri sebelum ini melibatkan beberapa isu penting antaranya pengurusan sisa pepejal, projek tebatan banjir, kesejahteraan rakyat, pengurusan jalan raya, isu rumah ibadat selain Islam tanpa kebenaran serta pengawalseliaan aktiviti penternakan.
Dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global, seluruh jentera Kerajaan Negeri dan Persekutuan perlu bergerak secara bersepadu bagi memastikan setiap dasar dan pelaksanaan projek benar-benar memberi manfaat kepada rakyat. Pegawai daerah serta semua jabatan juga perlu lebih proaktif dalam mengenal pasti keperluan mendesak rakyat khususnya projek-projek kecil berimpak tinggi yang tidak boleh ditangguhkan.
Sehingga 4 Mei 2026, prestasi perbelanjaan projek dan program RP1 RMKe-13 Negeri Selangor telah mencapai RM989 juta atau 27.24% daripada keseluruhan peruntukan RM3.63 bilion, melepasi purata nasional.
Saya turut menggesa agar projek yang memberi manfaat kepada rakyat dipercepatkan agar lebih ramai dapat menikmati dan merasai manfaat pembangunan negeri demi kesejahteraan negeri dan rakyat Negeri Selangor.








