Inisiatif

Peristiwa
2/11/26
Isu
Selangor
Negara

Mesyuarat Majlis Aeroangkasa Selangor Bil. 1/2026

Saya bersama-sama Ahli-ahli Majlis Aeroangkasa Selangor telah bersidang dalam Mesyuarat Majlis Aeroangkasa Selangor Bil. 1/2026 di Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Banting.

Mesyuarat ini menjadi wadah untuk meneliti perkembangan semasa, merancang langkah strategik dan membentuk dasar bagi memajukan industri aeroangkasa Selangor secara tersusun serta mampan.

Sebelum mesyuarat, saya turut berkesempatan meninjau fasiliti Satellite Assembly, Integration and Test (AIT) di agensi berkenaan. Fasiliti yang siap dibina pada 2011 ini membolehkan satelit dan komponennya diuji di bumi dalam keadaan yang menyerupai cabaran ketika pelancaran serta di angkasa lepas. Ini termasuk getaran kuat, perubahan suhu ekstrem dan keadaan vakum bagi memastikan satelit mampu bertahan serta berfungsi dengan baik sepanjang misinya.

Antara tumpuan perbincangan ialah hasil Kajian Separuh Penggal Pelan Tindakan Aeroangkasa Selangor, perkembangan projek aeroangkasa serta insentif sokongan industri bagi pembangunan bakat. Penilaian ini penting bagi memastikan hala tuju sektor aeroangkasa negeri seiring dengan keperluan dan perkembangan industri.

Pembangunan bakat tempatan mesti bergerak seiring dengan usaha menarik pelaburan. Kita mahu anak-anak Selangor memiliki kemahiran dan peluang untuk membina kerjaya dalam industri berteknologi tinggi, sekali gus mengambil bahagian dalam pertumbuhan sektor ini.

Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi berkaitan, pemain industri dan institusi pendidikan untuk mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai hab aeroangkasa yang berdaya saing serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti buat rakyat.

‍

No items found.
Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.