Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Ke-IV Dewan Negeri Selangor
Hari ini saya menghadiri Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Ke-IV Dewan Negeri Selangor dan menjawab dua soalan daripada Ahli Dewan Negeri yang menyentuh aspek pendidikan serta kesejahteraan rakyat.
Menjawab soalan daripada YB Bukit Melawati berhubung Program Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT), saya menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri menyediakan bantuan RM1,000 secara one-off kepada Anak Selangor daripada golongan B40 yang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Diploma dan Sijil Kemahiran Tahap 4 di IPTA serta IPTS di seluruh negara. Walaupun bantuan ini bukan bertujuan menampung sepenuhnya kos pengajian, ia diharapkan dapat meringankan beban pelajar dan keluarga dalam melangkah ke alam pendidikan tinggi.
Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan meneliti cadangan untuk meningkatkan jumlah penerima pada tahun hadapan, tertakluk kepada kedudukan hasil negeri. Pada masa yang sama, tempoh permohonan juga akan diperhalusi agar dapat dipanjangkan bagi memberi lebih ruang kepada pemohon, di samping memudahkan urusan pengesahan dan pengurusan data.
Saya turut menjawab soalan ADN Hulu Kelang mengenai definisi Kehidupan Bermaruah yang menjadi asas kepada pelaksanaan dasar Kerajaan Negeri. Bagi Kerajaan Negeri, kehidupan bermaruah bermaksud setiap individu dan keluarga mempunyai peluang menikmati pendapatan yang mencukupi, perumahan yang selamat, akses kepada pendidikan dan kesihatan berkualiti, perlindungan sosial yang menyeluruh serta peluang untuk meningkatkan taraf hidup dan menyertai pembangunan ekonomi.
Inilah komitmen Kerajaan Negeri Selangor untuk memastikan setiap dasar yang dilaksanakan bukan sekadar memberi bantuan, tetapi membina sebuah masyarakat yang lebih sejahtera, inklusif dan bermaruah.









