Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola (Induk) SUKMA XXII & Para SUKMA Selangor 2026
Hari ini, genap sebulan sebelum SUKMA XXII Selangor 2026 membuka tirainya pada 15 Ogos nanti, saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola (Induk) SUKMA XXII & Para SUKMA Selangor 2026 bagi memastikan setiap aspek persiapan berjalan lancar dan mengikut jadual demi menjayakan temasya sukan terbesar negara ini.
Mesyuarat hari ini memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan infrastruktur, penyediaan venue pertandingan, serta penyelarasan pengurusan bagi memastikan setiap aspek penganjuran berjalan mengikut jadual. Saya menegaskan bahawa keutamaan Kerajaan Negeri ketika ini adalah memastikan semua kemudahan dan prasarana disiapkan mengikut perancangan kerana aspek ini akan menjadi penentu kejayaan penganjuran SUKMA 2026.
SUKMA XXII Selangor 2026 dijangka mencipta sejarah sebagai edisi terbesar pernah dianjurkan, dengan penyertaan lebih 15,000 atlet dan pegawai mewakili 14 negeri serta Wilayah Persekutuan, sekali gus mencerminkan keyakinan dan semangat seluruh negara terhadap penganjuran temasya ini di Selangor.
Dengan 28 sukan teras dan lima sukan tambahan yang sedang dimuktamadkan, Selangor bersedia menganjurkan sehingga 33 acara sukan. Saya yakin melalui kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, Majlis Sukan Negara, pihak berkuasa tempatan, agensi-agensi berkaitan serta seluruh warga sekretariat, kita mampu menganjurkan SUKMA dan Para SUKMA yang bukan sahaja lancar, malah menjadi penanda aras baharu dari segi penganjuran, pengurusan dan pengalaman buat semua atlet serta kontinjen.
Insya-Allah, Selangor komited untuk menjadi tuan rumah yang terbaik dan memastikan SUKMA XXII & Para SUKMA Selangor 2026 meninggalkan legasi yang membanggakan buat negeri dan negara.










