Inisiatif

Peristiwa
5/10/26
Isu
Selangor
Negara

Meninjau Pelaksanaan Program Nutrisi Selangor (NUTRISEL) Di Kuala Langat

Pagi ini saya turun ke SK Telok Panglima Garang dan SMK Telok Panglima Garang bagi memantau pelaksanaan Program Nutri Selangor (NUTRISEL).

Dengan peruntukan RM12.56 juta, NUTRISEL menyasarkan 104,640 pelajar daripada keluarga B40 di seluruh Selangor. Inisiatif ini membantu meringankan beban kewangan keluarga serta memastikan anak-anak mendapat nutrisi yang mencukupi untuk menumpukan perhatian dalam pembelajaran.

Di kedua-dua sekolah ini, seramai 124 murid SK Telok Panglima Garang dan 622 pelajar SMK Telok Panglima Garang menerima manfaat NUTRISEL.

Manfaat ini turut diperluaskan kepada semua pelajar menerusi Program MEGANUTRISEL yang akan dilaksanakan dari 16 Oktober hingga 5 November 2026 di 962 sekolah seluruh Selangor, melibatkan kira-kira 993,000 pelajar. Setiap pelajar akan menerima sekotak susu dan sebungkus roti sekali sepanjang tempoh program, mengikut jadual yang ditetapkan.

Selain bantuan pemakanan, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM30 juta bagi Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor 2026. Menerusi program ini, SK Telok Panglima Garang diluluskan peruntukan RM45,000 untuk menaik taraf fasiliti sukan, manakala SMK Telok Panglima Garang diluluskan RM10,000 bagi membaik pulih infrastruktur sekolah.

Saya turut menzahirkan rasa dukacita atas tragedi yang meragut nyawa pelajar di Yong Peng, Johor. Tragedi ini mengingatkan kita bahawa keselamatan dan kesejahteraan anak-anak merupakan tanggungjawab bersama. Sekolah seharusnya menjadi tempat yang selamat untuk mereka belajar dan membina masa depan.

Saya turut berpesan kepada anak-anak ini, jika ada masalah, ceritakanlah kepada orang yang dipercayai, sama ada ibu bapa, guru, kaunselor atau ahli keluarga. Jangan pendam dan tanggung semuanya seorang diri. Jika berasa tertekan, diancam atau tidak selamat, segeralah mendapatkan bantuan.

Insya-Allah, di Selangor, kita mahu setiap anak Selangor mendapat peluang pendidikan yang baik. Pemakanan berkhasiat, persekitaran pembelajaran yang selamat dan sokongan emosi merupakan asas penting kepada perkembangan anak-anak.

‍

No items found.
Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.