Menerima kunjungan hormat Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia
Saya memulakan jadual pagi ini dengan menerima kunjungan hormat Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia, TYT Raden Dato’ Mohammad Iman Hascarya bersama delegasinya.
Pertemuan ini turut disertai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad serta Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Datuk Hasan Azhari Idris.
Selain bertukar pandangan mengenai perkembangan semasa dan landskap geopolitik serantau, kami turut membincangkan penganjuran Selangor International Business Summit 2026 (SIBS 2026) yang bakal mencatat sejarah apabila diadakan buat pertama kalinya di Bandung, Indonesia bulan hadapan.
Penganjuran ini mencerminkan eratnya hubungan strategik antara Selangor dan Indonesia, di samping membuka ruang kerjasama ekonomi yang lebih luas serta memperkukuh jaringan perdagangan dan pelaburan serantau.
Semoga segala urusan yang dirancang oleh Invest Selangor dipermudahkan dan SIBS 2026 menjadi pemangkin kepada lebih banyak peluang pelaburan berkualiti yang memberi manfaat kepada Malaysia dan Selangor khususnya.











