Melawat Mangsa Banjir Kilat Kg Melayu Subang
Sebentar tadi, saya bersama YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim melakukan tinjauan di kawasan terkesan banjir kilat semalam, di Kampung Melayu Subang.
Turut bersama Ahli Parlimen Sungai Buloh, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, dan ADUN Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kasim, serta agensi kerajaan berkaitan.
YAB Perdana Menteri melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Siantan. Seramai 30 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di PPS ini setakat jam 11 pagi tadi.
Saya kemudian melawat kawasan sekitar dewan yang turut terkesan akibat banjir semalam, antaranya Klinik Kesihatan Kampung Melayu Subang.
Antara tindakan segera yang turut dipersetujui Perdana Menteri ialah mempercepatkan pelaksanaan projek tebatan banjir yang sedang berjalan, khususnya kerja mendalamkan Sungai Damansara bagi melancarkan aliran air serta mengurangkan risiko limpahan ke kawasan kediaman penduduk.
Jumaat ini, saya akan memanggil pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk meneliti kemajuan projek di bawah Kerajaan Negeri, termasuk yang telah dianugerahkan kontrak sejak 2025 tetapi masih belum siap sepenuhnya. Kita mahu mengenal pasti kerja yang boleh dipercepatkan agar usaha mengurangkan risiko banjir dapat segera memberi manfaat kepada penduduk.
Saya memahami keresahan penduduk yang berdepan kejadian banjir berulang di Kampung Melayu Subang. Keselamatan dan kebajikan mereka menjadi keutamaan. Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan serta semua agensi terlibat bagi memastikan tindakan susulan dilaksanakan dengan segera.




















