Suara

Peristiwa
9/3/21
Isu
Selangor
Bantuan

Malaysian Gazette: MB Selangor saran JMB insurankan kediaman penduduk

SEPANG – Badan pengurusan bersama (JMB) di Selangor disarankan mengambil insuran kediaman penduduk sebagai langkah alternatif membantu pemiliknya ketika ditimpa bencana alam.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, JMB seperti yang dibuat di Apartment Dahlia Court boleh dijadikan contoh dalam menangani masalah bayaran untuk menanggung kos kerosakan yang dihadapi penduduk dilanda ribut pada Sabtu lalu.

“Sekiranya bayaran insuran ini lewat diterima penduduk, kerajaan negeri akan membantu mendahulukan membaiki kerosakan di apartmen ini,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke kawasan bencana ribut di sekitar Taman Seroja, Bandar Baru Salak Tinggi hari ini.

Turut hadir adalah Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang, Mohamad Zain A Hamid.

Pada dua hari lalu, kira-kira 120 kediaman rumah teres dan apartment penduduk Bandar Baru Salak Tinggi Utara dilanda ribut dan didapati rosak.

Kejadian disifatkan terburuk dan kali pertama berlaku di kawasan berkenaan.

Hujan lebat dan angin kencang pada pukul 5 petang itu turut menerbangkan bumbung sebahagian kediaman penduduk.

Ulas Amirudin lagi, kerajaan negeri  masih menunggu laporan dari Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang dan Pejabat Tanah Sepang berhubung kos dan jenis kerosakan yang dialami penduduk setempat.

Sebagai langkah permulaan, pihaknya akan menyalurkan bantuan wang ihsan berjumlah RM500 kepada setiap penduduk yang terkesan selewat-lewatnya minggu depan.

“Pihak Persatuan Ibu Bapa juga perlu mengemukan laporan berhubung kerosakan yang dibina mereka seperti gazebo supaya dapat disalurkan bantuan.

“Bagi pembersihan pokok tumbang ia sudah dilaksanakan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) membabitkan kira-kira 70 pokok yang tumbang.

“Kerajaan Selangor juga akan mengkaji bentuk bantuan lain yang perlu disalurkan selepas menerima laporan penuh berhubung kejadian ribut ini,” katanya.

Antara kawasan perumahan BBST yang terjejas adalah Taman Seroja dengan 17 rumah, Taman Dahlia (19), Apartment Seroja Hill (tujuh), Apartment Taman Dahlia (12), Kampung Baru Pekan Salak (20) dan Kampung Salak Tengah (tujuh).

Turut mengalami kerosakan dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seroja dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) BBST. – MalaysiaGazette

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.