Suara

Siaran Akhbar
11/9/20
Isu
Selangor
Air

Makkal Osai : Selangor rancang pantau pencemaran guna teknologi dron - MB

Kerajaan Negeri merancang menjalankan pemantauan di kawasan sungai dengan menggunakan teknologi dron sebagai langkah mengelak insiden luar jangka yang memberi risiko terhadap sumber air mentah di loji rawatan air (LRA).

Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya dijangka mengumumkan pasukan khas untuk tugasan itu di dua lembangan sungai penting iaitu Sungai Selangor dan Sungai Langat menggunakan alat tersebut dalam tempoh terdekat.

“Kita perlukan tambahan teknologi. Saya sedang berbincang dengan pihak tertentu kerana kita ada beberapa pengendali yang boleh menganalisa air dan melakukan rondaan secara kerap tanpa manusia.

“Ia dilakukan dengan dron dan enjin. Dari situ kita dapat mengesan jika berlaku sebarang unsur pencemaran tetapi pada masa sama (pencemaran) bau memberi cabaran besar kepada kita kerana hanya hidung manusia boleh menghidu,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada program The Amin Idris Show yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook malam tadi.

Mengulas pemasangan alat pengesan pencemaran di kawasan sungai, Amirudin berkata Lembaga Urus Air Selangor (Luas) sudah meletakkannya di kira-kira lima hingga 10 tempat namun terganggu dengan aliran air selain memberi kesan terhadap biologikal lain.

“Pengesanan boleh dibuat cuma ia melibatkan kos dan PBT (pihak berkuasa tempatan). Selepas ini, kilang juga harus meletakkan alat pengesan tersebut atau Kerajaan Negeri melalui PBT boleh meletakkan semua alat itu di premis pengeluaran bahan tersebut.

“Jika ada pencemaran, sekurang-kurangnya ada rekod. Tapi ia memerlukan disiplin dan penguatkuasaan serta pemantauan berterusan,” katanya.

Seterusnya
SELANGOR MAJU BERSAMA
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.