Makan Malam Perasmian Sesi Penilaian Semula Gombak-Hulu Langat Geopark 2026
Malam semalam, saya meraikan barisan panel penilai dan delegasi pada Makan Malam Perasmian Sesi Penilaian Semula Gombak-Hulu Langat Geopark 2026.
Diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan sejak tahun 2022, Gombak-Hulu Langat Geopark meliputi kawasan seluas lebih 112,000 hektar dengan 20 geotapak utama yang kaya dengan khazanah geologi, biodiversiti, budaya dan sejarah. Warisan ini merupakan kebanggaan negeri yang perlu kita pelihara untuk generasi akan datang.
Kerajaan Negeri komited memastikan pemuliharaan alam dan pembangunan bergerak seiring. Melalui geopark, kita mahu memperluas pendidikan alam sekitar, memperkasa komuniti serta membuka peluang ekonomi tempatan berasaskan pelancongan mampan agar manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat.
Saya turut menyambut baik kerjasama Tourism Selangor dan Canon Marketing Malaysia melalui pertukaran Memorandum Kolaborasi pada malam ini. Kerjasama ini akan menyokong usaha pendokumentasian dan promosi geopark menerusi kandungan digital serta visual yang kreatif dan berkualiti, sekali gus memperkenalkan keunikannya kepada khalayak yang lebih luas.
Semoga penilaian semula ini berjalan lancar dan menjadi panduan untuk kita menambah baik pengurusan serta memperkukuh hala tuju Gombak-Hulu Langat Geopark menuju aspirasi pengiktirafan UNESCO Global Geopark pada masa hadapan. Terima kasih kepada seluruh agensi, rakan strategik dan komuniti setempat yang terus bersama menjayakan usaha ini.















