Inisiatif

Peristiwa
28/8/26
Isu
Selangor
Negara

Majlis Perasmian Kolej Tingkatan Enam (Prauniversiti) Gombak & Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik STPM Tahun 2025

Di Gombak pagi ini bersama anak-anak tingkatan 6 dan para pendidik dari Kolej Tingkatan Enam (Prauniversiti) Gombak (KTEGO). Alhamdulillah, saya telah merasmikan KTEGO sekali gus meraikan kecemerlangan para pelajar dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik STPM 2025.

KTEGO merupakan satu lagi mercu tanda penting pendidikan prauniversiti di Gombak. Institusi seperti ini membuka ruang lebih luas kepada anak-anak Selangor untuk melanjutkan pendidikan tanpa mengira latar belakang sosioekonomi, selain menjadi medan membina ilmu, jati diri, kematangan dan kepimpinan sebelum melangkah ke universiti.

Tahniah kepada para pelajar atas pencapaian membanggakan sehingga meletakkan KTEGO di kedudukan ke-2 terbaik di daerah Gombak dan ke-5 dalam kalangan Kolej Tingkatan Enam di Selangor. Penghargaan juga buat para pendidik, ibu bapa dan PIBG yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan ini.

Kerajaan Negeri Selangor akan terus meletakkan pendidikan sebagai keutamaan. Bagi memperkukuh pembelajaran digital, RM500,000 turut diperuntukkan menerusi Data Internet Selangor (DIS) untuk menyediakan 400 peranti mudah alih 5G berserta akses data tanpa had selama 24 bulan kepada pelajar Tingkatan Enam. Daripada jumlah itu, 100 unit dikhususkan kepada pelajar KTEGO.

Saya juga melancarkan Himpunan Prauniversiti Selangor (HIPSTER) sebagai platform menghimpunkan pelajar Kolej Tingkatan Enam, Kolej Matrikulasi dan Program Asasi seluruh Selangor. HIPSTER akan menjadi wadah membina kepimpinan, memperkasa bakat dan aspirasi serta menjadi jambatan antara Kerajaan Negeri dengan generasi prauniversiti.

Harapan saya, KTEGO akan terus berkembang sebagai pusat kecemerlangan yang melahirkan generasi berilmu, berakhlak, berintegriti dan berdaya saing. Semoga lebih ramai anak-anak di sini mencapai keputusan terbaik, menjejakkan kaki ke universiti pilihan dan suatu hari nanti kembali menyumbang kepada Selangor serta negara.

Ilmu disemai sepanjang waktu,

Menjadi penyuluh bangsa dan negara.

No items found.
Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.