Majlis Perasmian Dataran Dato’ Seri Harun Idris, Pantai Morib
Mengiringi keberangkatan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin ke Majlis Perasmian Dataran Dato’ Seri Harun Idris, Pantai Morib. Menjunjung kasih atas perkenan DYMM Tuanku berdua berangkat menyempurnakan majlis ini.
Projek Pemuliharaan Pantai Morib dengan kos keseluruhan RM60.5 juta ini dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor dan telah siap pada 1 Julai 2026. Usaha ini bertujuan melindungi pantai daripada hakisan dan limpahan air laut, di samping menyediakan persekitaran yang lebih indah, selamat dan selesa buat pengunjung.
Saya berharap wajah baharu Pantai Morib akan menarik lebih ramai pelancong, merancakkan ekonomi setempat serta membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan kepada masyarakat Kuala Langat.
Marilah kita bersama-sama menjaga kebersihan dan kemudahan di sini agar keindahan Pantai Morib terus terpelihara untuk dinikmati generasi akan datang.










