Inisiatif

Peristiwa
31/8/26
Isu
Selangor
Negara

Majlis Penutup SRG Esports School 2026

Saya berkesempatan bertemu dan beramah mesra dengan pasukan Selangor Red Giants (SRG) sebelum merasmikan Majlis Penutup SRG Esports School 2026 di ESI Spacerubix, Puchong.

Perjalanan e-sukan Selangor bermula menerusi penganjuran Selangor Cyber Games pada tahun 2014. Pertemuan saya dengan Mushi, pemain profesional Dota bertaraf dunia yang berkongsi pengalaman serta potensi besar industri ini, menjadi antara titik awal yang membuka ruang kepada usaha Kerajaan Negeri untuk membangunkan e-sukan sebagai sebuah industri dan laluan kerjaya yang berpotensi.

Hari ini, usaha tersebut diteruskan menerusi SRG Esports School yang memberi peluang kepada pelajar berusia 15 hingga 17 tahun mengasah bakat dalam e-sukan, di samping membina kemahiran komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan dan pemikiran kritikal. Industri e-sukan bukan sekadar melahirkan pemain profesional, malah membuka peluang kerjaya dalam bidang kejurulatihan, penyiaran, penciptaan kandungan, pengurusan pasukan dan pemasaran digital.

Tahniah kepada semua peserta dan penerima anugerah, termasuk Pengulas Terbaik, Pengurus Pasukan Terbaik, Pasukan Media Terbaik, Pasukan Impian, Pemain Terbaik (MVP), Tokoh SRG Terbaik serta penerima anugerah lain. Semoga pengalaman sepanjang program ini menjadi langkah pertama untuk kalian pergi lebih jauh dalam industri e-sukan.

Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh ekosistem e-sukan Selangor melalui kerjasama dengan pelbagai rakan strategik, termasuk menerusi perancangan pembangunan Gedung E-Sukan Selangor di Shah Alam.

Insya-Allah, kita mahu lebih ramai bakat muda Selangor dibimbing bukan sahaja menjadi pemain yang hebat, tetapi juga tenaga profesional yang berdisiplin, berkemahiran dan mampu mengharumkan nama Selangor di pentas yang lebih tinggi.

‍

No items found.
Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.