Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan PRN Johor Ke-16
Malam tadi, Pakatan Harapan telah mengumumkan 56 calon yang akan mewakili PH dalam Pilihanraya Negeri Johor 2026 ini. Gelombang merah Pakatan Harapan bergema di Padang Bukit Gambir bersama hampir 15 ribu penyokong, pendukung dan penduduk sekitar.
Seperti yang disebut oleh Pengerusi Pakatan Harapan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, pilihan raya ini bukanlah kemahuan kita. Kerajaan Madani sedang gigih berusaha memulihkan ekonomi serta rantaian bekalan yang terjejas akibat krisis Asia Barat. Namun begitu, berpantang maut sebelum ajal, Pakatan Harapan akan menempuh cabaran ini dengan tekad dan semangat yang padu.
Di Johor kali ini, Pakatan Harapan mempertaruhkan barisan calon yang menggabungkan pengalaman, kepimpinan akar umbi, golongan profesional serta muka-muka baharu yang berwibawa untuk membawa suara rakyat Johor ke hadapan.
Pengumuman penuh calon ini adalah bukti Pakatan Harapan memasuki pilihan raya ini untuk menang dan membentuk kerajaan mentadbir Johor. Gabungan kekuatan ini bukan sekadar menawarkan calon terbaik, tetapi juga komitmen yang jelas untuk membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat Johor yang akan menerima manfaat memilih gabungan yang menjadi tunjang Kerajaan Persekutuan.
Dalam ucapan saya turut mengulas data dan angka terkini yang menunjukkan Johor mempunyai potensi untuk lebih berkembang dan makmur sekiranya memilih Pakatan Harapan.
Inilah masanya untuk Johor Ke Depan, Undi Harapan !












