Majlis Peluncuran Pembangunan Prasarana Awam Semenyih
Saya hadir di majlis pelancaran inisiatif infrastruktur awam di Semenyih yang telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Inisiatif ini merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh keterhubungan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Pembinaan Jalan Pintasan Semenyih–SILK sepanjang 4.3km ini bakal merungkai kesesakan setempat serta memendekkan masa perjalanan ke Kuala Lumpur daripada 45 minit kepada sekitar 20 minit, selain menghubungkan Semenyih dengan enam lebuh raya utama termasuk LEKAS dan CKE.
Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen bersama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor dan rakan strategik sektor swasta dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat, menyokong perniagaan komuniti serta memperkukuh akses ke destinasi pelancongan dan rekreasi seperti Bukit Broga dan Banjaran Titiwangsa.
Kerjasama strategik ini juga mengambil kira aspek kelestarian alam sekitar melalui aliran trafik yang lebih lancar dan pengurangan pelepasan karbon, selari dengan agenda pembangunan mampan negeri.
Insya-Allah, dengan siapnya projek ini pada tahun 2027, Jalan Pintasan Semenyih–SILK akan menjadi pemangkin mobiliti yang lebih cekap, pembangunan seimbang dan kesejahteraan jangka panjang untuk rakyat Semenyih dan kawasan sekitarnya.












