Inisiatif

Peristiwa
21/7/26
Isu
Selangor
Negara

Majlis Peluncuran Aplikasi Digital Dana Plus

Hari ini saya telah meluncurkan aplikasi DANA PLUS, satu langkah penting dalam mempercepat agenda pendigitalan perkhidmatan awam serta memperkasa ekosistem keusahawanan negeri.

Melalui DANA PLUS, keseluruhan proses permohonan pembiayaan mikro Yayasan Hijrah Selangor kini dilaksanakan secara 100% digital, bermula daripada permohonan, pengesahan identiti (e-KYC), semakan dan kelulusan pembiayaan, tandatangan perjanjian secara digital (e-Signature) sehinggalah kepada pembayaran balik melalui Auto Debit. Permohonan juga boleh dibuat 24 jam sehari, 365 hari setahun, pada bila-bila masa dan di mana sahaja tanpa perlu hadir ke cawangan.

Tempoh kelulusan bagi pembiayaan sehingga RM10,000 yang sebelum ini mengambil masa antara 14 hingga 21 hari kini dapat diselesaikan dalam tempoh 48 jam, malah rekod terpantas yang pernah dicapai hanyalah empat jam.

DANA PLUS juga menjadi platform utama penyaluran peruntukan pembiayaan mikro berjumlah RM32 juta yang diumumkan menerusi Belanjawan Selangor 2026 dan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2.

Sejak fasa perintis bermula pada Januari 2025, DANA PLUS telah menerima 4,436 permohonan, dengan 3,237 permohonan diluluskan melibatkan pembiayaan melebihi RM70 juta. Bagi pembiayaan sehingga RM10,000, kadar kelulusannya mencecah 82.9%, membuktikan keberkesanan pendekatan digital yang lebih cekap, pantas dan mesra pengguna.

Pada majlis yang sama, saya turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara Yayasan Hijrah Selangor dan Bank Muamalat Malaysia Berhad bagi memperkukuh pelaksanaan Program iTEKAD. Kerjasama ini akan membantu lebih ramai usahawan B40 dan asnaf melalui pembiayaan mikro sehingga RM50,000, geran permulaan sehingga RM5,000, latihan keusahawanan serta perlindungan takaful, sekali gus membina ekosistem sokongan yang lebih menyeluruh untuk mereka berkembang.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Yayasan Hijrah Selangor atas pengiktirafan sebagai Top 3 IFN Islamic Microfinance Institution of the Year 2025 (Non-Banking Financial Institutions). Pengiktirafan antarabangsa ini membuktikan komitmen dan kecemerlangan Hijrah Selangor dalam memacu inovasi pembiayaan mikro Islam serta memperkasakan usahawan melalui akses pembiayaan yang inklusif.

Melalui DANA PLUS, kita bukan sahaja mempercepat akses kepada modal perniagaan, malah memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, telus dan inklusif demi memastikan lebih ramai usahawan Selangor terus berkembang serta menyumbang kepada kemajuan ekonomi negeri.

No items found.
Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.