Majlis Pelancaran Kerjasama antara Air Selangor, UNISEL & STDC
Pagi ini saya melancarkan Program Kerjasama antara Air Selangor, Universiti Selangor (UNISEL) dan Selangor Technical Development Centre (STDC) bagi memperkukuh pembangunan tenaga mahir dalam industri air.
Menerusi kerjasama ini, model ekosistem “Universiti Air” atau Water University yang pertama di Malaysia sedang dibangunkan. Usaha ini menghubungkan kepakaran industri dengan institusi pendidikan supaya latihan dan kemahiran yang ditawarkan benar-benar memenuhi keperluan sektor bekalan air.
Kerajaan Negeri mahu melahirkan tenaga kerja yang menguasai ilmu serta cekap mengaplikasikannya di lapangan. Justeru, pembangunan kurikulum berasaskan industri, latihan praktikal, pensijilan kompetensi serta peningkatan kemahiran akan menjadi antara tumpuan kerjasama ini.
Dalam majlis yang sama, saya turut meraikan 138 peserta yang berjaya menamatkan Program Sijil Profesional Teknologi Pengurusan Bekalan Air bagi sesi 2025/2026. Tahniah kepada semua peserta! Semoga pencapaian ini membuka lebih banyak peluang untuk berkembang dalam kerjaya dan menyumbang kepada industri air.
Bekalan air yang terjamin penting untuk kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan keyakinan pelabur. Penghargaan kepada Air Selangor, UNISEL dan STDC atas komitmen membangunkan bakat yang akan menggalas tanggungjawab ini pada masa hadapan.











