Majlis Pelancaran Identiti Korporat Baharu PNSB
Dari SUK, saya ke Pusat Konvensyen MBSA, merasmikan Majlis Pelancaran Identiti Korporat Baharu Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).
Pelancaran ini bukan sekadar perubahan logo, tetapi simbol transformasi hala tuju dan kematangan organisasi selepas lebih 35 tahun beroperasi. Ia mencerminkan kesediaan PNSB untuk melangkah lebih jauh sebagai antara pemacu utama pembangunan ekonomi negeri di bawah Rancangan Selangor Kedua (RS-2) 2026–2030.
Saya menyambut baik komitmen PNSB dalam memperkukuh kecekapan operasi melalui adaptasi teknologi seperti konsep Smart Office dan integrasi AI, di samping terus memperkasakan agenda perumahan rakyat melalui Rumah Idaman.
Lebih penting, langkah meneroka sektor berimpak tinggi seperti industri aeroangkasa dan pelaburan modal teroka (VC) menunjukkan keberanian PNSB untuk mencipta nilai baharu dan memastikan kemampanan ekonomi masa hadapan.
Pengenalan pelan perniagaan strategik lima tahun, SHIFT30, juga merupakan langkah penting dalam mempelbagaikan sumber pendapatan serta mengukuhkan pertumbuhan jangka panjang.
Seperti yang saya tegaskan, identiti baharu ini adalah pernyataan keyakinan bahawa PNSB bersedia untuk menjadi penanda aras pembangunan Negeri Selangor. Apa yang kita bina hari ini akan menjadi warisan untuk generasi akan datang.
















