Moreh Bersama Warga Politeknik Sultan Idris Shah
Dari Sekinchan, saya meneruskan program ketiga malam semalam bersama lebih 2,000 mahasiswa Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) dalam majlis moreh di PSIS. Ini merupakan kali pertama saya ke sini dan tak sangka disambut dengan meriah oleh para pelajar! Yang menariknya, lebih 65% daripada keseluruhan pelajar di sini merupakan anak jati Selangor.
Dalam ucapan, saya tekankan bahawa TVET hari ini bukan lagi pilihan kedua. Ia adalah laluan strategik melahirkan tenaga mahir, usahawan muda dan juga inovator. Negeri Selangor komited memperkukuh ekosistem TVET melalui kerjasama strategik bersama syarikat antarabangsa seperti Dassault Systèmes, Siemens, serta rangkaian teknologi bangunan pintar di bawah piawaian KNX Association, selain pelbagai pemain industri global yang lain.
Misi utama Selangor untuk melahirkan graduan TVET yang bukan sekadar memiliki sijil, tetapi mempunyai pensijilan industri, kemahiran praktikal berimpak tinggi serta daya saing antarabangsa.
Tahniah kepada PSIS atas penganjuran program Semarak Ramadan dengan pengisian solat tarawih, tadarus dan program kebajikan pada bulan ini. Pendidikan teknikal perlu disertai nilai integriti, disiplin dan kepekaan sosial. Gabungan kemahiran dan akhlak inilah yang akan membentuk generasi Selangor yang unggul.








