Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Rakyat (Siri 1) Sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan DYMM Sultan Selangor
Merafak sembah menjunjung kasih atas perkenan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berangkat ke Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Rakyat di Padang Mahkota, Istana Alam Shah, sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan DYMM Sultan Selangor. Turut berangkat, DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah bersama YM Datin Paduka Seri Afzaa Fadini.
Majlis yang menghimpunkan rakyat dari daerah Klang, Petaling, Hulu Selangor dan Sabak Bernam ini menjadi ruang untuk bersama-sama meraikan detik penuh bermakna dalam sejarah negeri. Majlis petang ini mempererat tautan kasih antara institusi diraja dengan rakyat jelata Negeri Selangor yang berbilang kaum dan agama.
Keakraban ini mencerminkan kewibawaan dan keprihatinan DYMM Sultan Selangor yang sentiasa dekat di hati rakyat sepanjang 25 tahun pemerintahan Baginda. Titah pedoman Tuanku Sultan terus menjadi panduan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh permuafakatan, memelihara perpaduan serta mengutamakan kesejahteraan rakyat demi kestabilan dan keharmonian Selangor.
Dengan penuh takzim, patik dan seluruh rakyat terus mendoakan agar Allah SWT melanjutkan usia DYMM Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor serta para kerabat diraja dalam kesihatan, keafiatan dan kesejahteraan berpanjangan untuk terus memayungi rakyat Negeri Selangor Darul Ehsan.
Daulat Tuanku
Dirgahayu Tuanku








