Majlis Apresiasi Yayasan MBI 2025
Walaupun demam World Cup belum bermula, tapi semalam saya mengikut tema majlis, memakai jersi Itali semasa menghadiri Majlis Apresiasi Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan). Majlis ini meraikan warga kerja, rakan kolaborasi dan pemegang taruh yang telah bekerja tanpa mengenal penat lelah demi kebajikan rakyat Selangor.
Tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Yayasan MBI atas komitmen berterusan dalam menyantuni golongan yang memerlukan, serta memperkasa agenda kebajikan dan pembangunan sosial negeri. Usaha ini mencerminkan nilai empati, kebersamaan dan tanggungjawab sosial yang menjadi teras pentadbiran Kerajaan Negeri.
Majlis ini adalah satu pengiktirafan terhadap dedikasi dan semangat kolaborasi semua pihak yang percaya bahawa kejayaan sebenar sesebuah negeri diukur melalui keupayaannya menjaga kesejahteraan rakyat secara menyeluruh dan berperikemanusiaan.
Insya-Allah, Kerajaan Negeri Selangor akan terus memberikan sokongan agar Yayasan MBI diperkasa sebagai institusi kebajikan yang progresif, berdaya tahan dan relevan, selari aspirasi Selangor sebagai negeri maju yang inklusif dan berdaya saing.


















