Majlis Anugerah Kecemerlangan Sagong Tasi Negeri Selangor 2025
Petang semalam, saya bersama-sama dengan warga pendidik, pihak UiTM, dan para pelajar terutamanya pelajar dari kalangan Orang Asli Selangor dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Sagong Tasi Negeri Selangor 2025 dan pra-pelancaran Festival of Ideas (FOI) Selangor 2025.
Majlis Anugerah Kecemerlangan Sagong Tasi Negeri Selangor merupakan satu inisiatif di bawah Program Tekad Pendidikan #KitaSelangor yang mengiktiraf kejayaan dan semangat juang anak-anak Selangor. Kejayaan mereka dalam bidang akademik, kokurikulum dan kepimpinan, termasuk pencapaian antarabangsa seperti Kontes Robotik Nusantara di Jakarta baru-baru ini membuktikan bahawa kecemerlangan tidak mengenal batas asal-usul. Ia lahir daripada tekad, disiplin dan sokongan padu keluarga serta para pendidik.
Kerajaan Negeri Selangor terus komited memperkasa pendidikan untuk semua, termasuk komuniti Orang Asli melalui pelbagai inisiatif seperti Biasiswa Sagong Tasi, Program BUDI & Tuisyen Rakyat Selangor, juga Bantuan Sekolah dan Biasiswa Khas Selangor
Pada masa yang sama, turut diadakan pra-pelancaran Festival of Ideas (FOI) Selangor 2025 yang bakal berlangsung di UiTM Shah Alam pada 25 & 26 Oktober 2025. FOI adalah platform kolaborasi antara Kerajaan Negeri Selangor dan UiTM bagi meraikan idea, inovasi dan hasil penyelidikan yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat serta pembangunan negeri berasaskan ilmu dan kreativiti.
Pendidikan adalah jambatan mobiliti sosial, dan pelaburan jangka panjang dalam membina generasi yang berilmu, berwawasan serta berjati diri tinggi. Justeru, Kerajaan Negeri akan terus memastikan akses pendidikan yang inklusif, berkualiti dan seimbang dari peringkat asas hingga ke pengajian tinggi agar setiap anak Selangor, tanpa mengira latar belakang, mempunyai peluang yang sama untuk berjaya.






















