Lawatan Ke Sunday Market & Garden 8 Taman Perwira
Memulakan program di Gombak pagi ini dengan menyertai Garden 8 Sunday Market dan meninjau kebun komuniti Garden 8 yang terletak di Taman Perwira, Gombak.
Garden 8 yang bermula sejak 2021 merupakan inisiatif kebun komuniti yang menggalakkan pertanian bandar dan gaya hidup hijau, dengan penglibatan 47 buah rumah penduduk setempat yang bekerjasama memanfaatkan ruang kejiranan secara lestari.
Kali terakhir saya berkunjung ke sini adalah pada tahun 2022 dan amat membanggakan untuk melihat bagaimana usaha komuniti ini terus berkembang. Penganjuran Garden 8 Sunday Market yang diadakan setiap Ahad hujung bulan kini memasuki siri ke-30, sekali gus membuktikan komitmen berterusan penduduk dalam memupuk semangat kejiranan, kelestarian alam dan ekonomi komuniti.
Tahniah diucapkan kepada komuniti penduduk di sini. Garden 8 ini juga telah menerima pelbagai pengiktirafan dan anugerah, dan wajar dijadikan contoh kepada komuniti penduduk lain dalam membangunkan kawasan kejiranan yang lebih hijau, mampan dan berdaya tahan.
















