Kunjungan Hormat kepada YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Sidang Media Festival Turath Islami Malaysia 2026
Mengadakan kunjungan hormat kepada YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi membincangkan persiapan Festival Turath Islami Malaysia (FTIM) 2026. Pertemuan ini kemudiannya diteruskan dengan sidang media bagi mengumumkan penganjuran festival berprestij tersebut.
Selepas tiga edisi dianjurkan di Selangor sejak 2023, saya berbesar hati apabila Festival Turath Islami Selangor kini diperluas ke peringkat nasional menerusi FTIM 2026, hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan.
Setiap edisi mengangkat karya agung ulama muktabar sebagai teras pengajian, bermula dengan Ihya’ ‘Ulumuddin karya Imam al-Ghazali pada 2023, Hadis 40 karya Imam al-Nawawi pada 2024 dan Tafsir al-Jalalayn pada 2025. Tahun ini, dengan tema “Hikmah Warisan Islam”, FTIM 2026 akan mengangkat Al-Hikam al-‘Ata’iyyah karya Ibnu Atha’illah al-Sakandari.
Sepanjang lapan hari penganjuran, lebih 42 sesi pengajian akan berlangsung dengan penyertaan 23 ulama tempatan dan antarabangsa. Antara pengisiannya termasuk Kuliah Subuh, Bacaan Dalail al-Khairat, talaqqi Kitab Al-Hikam, Tausiah Perdana, Majlis Qasidah serta Festival Buku Islami.
Buat julung kalinya, Muzakarah Ulama Turath Kebangsaan turut diadakan dengan menghimpunkan 100 ilmuwan Islam dari seluruh negara sebagai wadah memperkukuh wacana keilmuan serta mencari solusi terhadap cabaran semasa yang dihadapi umat.
Kerajaan Negeri Selangor bersama Kerajaan Persekutuan akan terus komited memperkasa tradisi keilmuan Islam selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Ayuh seluruh rakyat Malaysia memeriahkan FTIM 2026 selama lapan hari bermula 13 September 2026. Semoga festival ini terus menyuburkan tradisi talaqqi, sanad dan berguru, sekali gus memastikan khazanah keilmuan Islam terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.















