Kunjungan hormat ke atas Wakil Menteri Perdagangan Republik Indonesia, Dyah Roro Esti Widya Putri
Agenda pertama delegasi Selangor sempena Selangor International Business Summit 2026 Bandung, kami mengadakan kunjungan hormat ke atas Wakil Menteri Perdagangan Republik Indonesia, Dyah Roro Esti Widya Putri, bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan antara Selangor dan Indonesia.
Sebagai enjin ekonomi Malaysia, Selangor menawarkan ekosistem industri yang lengkap serta menjadi pintu masuk perdagangan utama negara melalui Pelabuhan Klang yang merangkumi Westports dan Northport, selain pembangunan Pulau Carey yang bakal memperkukuh lagi kapasiti logistik dan perdagangan maritim rantau ini.
Saya turut berkongsi mengenai penganjuran Selangor International Business Summit (SIBS) 2026 di Bandung sebagai platform untuk menghubungkan pelabur, pemain industri dan pembuat dasar dari seluruh rantau.
Antara bidang kerjasama yang dibincangkan termasuk penawaran kepakaran industri semikonduktor dan reka bentuk litar bersepadu (IC design), keselamatan makanan dan rantaian bekalan agro-makanan, sektor tenaga termasuk bekalan arang batu, serta industri aeroangkasa. Selangor hari ini merupakan hab utama aeroangkasa Malaysia dengan lebih 60% syarikat aeroangkasa negara beroperasi di negeri ini, disokong oleh ekosistem penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pembuatan serta latihan tenaga mahir.
Insya-Allah, perbincangan ini akan membuka lebih banyak peluang kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak serta mengukuhkan lagi hubungan ekonomi antara Selangor dan Indonesia.



















