Media

Peristiwa
4/5/21
Selangor
Bantuan

Kosmo: RM775,800 sumbangan raya untuk anak yatim Selangor

SHAH ALAM – Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) telah mengkreditkan sumbangan hari raya sebanyak RM775,800 kepada 7,758 anak yatim di seluruh negeri.

Pengurus Besar YIDE, Nur Mohd Razali Abdullah berkata, setiap daripada anak yatim akan menerima sumbangan RM100 seorang hasil sumbangan orang ramai, syarikat korporat serta anak syarikat kerajaan negeri selain sumbangan tetap daripada akaun Tabung Amanah Anak Yatim, Majlis Agama Islam Selangor.

Katanya, sumbangan dilakukan menerusi kaedah pindahan dalam talian ke setiap akaun bank anak yatim dengan program tahunan majlis penyerahan bersama Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Ramadan tahun ini telah dibatalkan.

“Ini mengambil kira faktor keselamatan susulan penularan wabak Covid-19 yang masih belum dapat dibendung sepenuhnya, selain bagi mengelak rakyat daripada risiko terkena jangkitan.

“Selain itu, bagi kes-kes terpencil antaranya penjaga dan anak yatim tiada akaun bank pula, pegawai YIDE turun padang untuk menyerahkan sendiri melalui serahan tangan bagi memastikan mereka ini turut merasai sumbangan yang diberikan.” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan secara pecahan agihan itu masing-masing melibatkan seramai 1,508 orang di Klang, Petaling (1,155), Sabak Bernam (392), Kuala Selangor (841), Hulu Langat (1,392), Sepang (343), Gombak (1,057), Hulu Selangor (527) dan Kuala Langat (543).

Ujarnya, orang ramai yang ingin menyumbang boleh ke akaun korporat YIDE, Bank Islam 1223 4010 0073 30 dan menghubungi talian utama YIDE untuk mendapatkan resit pelepasan cukai di talian 017-756 9476 atau 017-756 9478.

“Setiap sumbangan yang diberikan akan dikecualikan cukai pendapatan dan potongan di bawah Subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967, Nombor Rujukan LHDN 01/35/42/51/179-6.7622, bertarikh 15 November 2019 melalui resit rasmi YIDE,” katanya. -K!ONLINE

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.