Media

Peristiwa
5/5/21
Selangor
Bantuan

Kosmo: Keluarga 28 anak terima banyak bantuan daripada LZS

SHAH ALAM – Sebuah keluarga besar yang mempunyai 28 orang anak di Klang dan tular di laman sosial sejak semalam merupakan asnaf yang telah dibantu oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) sejak 2010.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop berkata, berdasarkan rekod juga mendapati keluarga itu telah menerima pelbagai bantuan daripada pihaknya termasuk kewangan, bulanan, makanan, sewa rumah, modal, persekolahan anak, raya serta kecemasan.

Katanya, malangnya terdapat sebahagian anaknya tidak bersekolah dan sesi kaunseling dan induksi akan dilakukan kepada ahli keluarga termasuk ketua keluarga berkenaan.

“Ini supaya mereka dapat mengubah kehidupan kerana merupakan antara Rangka Tindakan (Blueprint) yang digariskan dalam pembangunan asnaf di Selangor.

“Mereka juga akan diberikan motivasi termasuk perlu menandatangani akur janji untuk berubah. Manakala, anak-anak yang tercicir di sekolah menengah akan dibantu dengan mencari kursus vokasional dan latihan teknikal dalam membantu meningkatkan potensi mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis iftar dan penyerahan zakat perniagaan oleh 24 buah syarikat, hari ini.

Terdahulu, sebuah keluarga besar yang mempunyai 28 orang anak hasil perkahwinan bapa mereka bersama empat orang isteri yang hidup dalam keadaan tidak kondusif tular di laman sosial sehingga menimbulkan pelbagai persepsi di kalangan netizen.

Saipolyazan menegaskan pihaknya juga akan melihat semula keperluan keluarga tersebut dari segi menyediakan kemudahan dan keselesaan supaya anak-anak tidak tercicir persekolahan.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan kebanyakan kes tertentu yang ditularkan adalah kisah berulang yang sememangnya asnaf telah disantuni LZS.

“Kebanyakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Selangor yang lama telah tahu termasuk Ebit Lew, Syed Azmi dan Cikgu Fadil yang akan memeriksa dengan kita sebelum ditularkan. Mungkin NGO baharu tidak faham dan tidak mengetahui kerjasama dijalankan LZS dengan NGO dan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO-i).

“Kita tidak mahu virus (fitnah) yang tular ini memberikan kesan kepada jumlah kutipan setiap tahun seterusnya agihan kepada asnaf yang memerlukan,” jelasnya. -K!ONLINE

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.