Konflik di Timur Tengah
Berikutan dari konflik di Timur Tengah melibatkan beberapa negara yang meletus baru-baru ini, seramai 7 org pelajar Selangor yang menuntut di Jordan terkandas di Jeddah, Arab Saudi. Kesemua pelajar ini memasuki Arab Saudi untuk menunaikan ibadah Umrah dan sepatutnya pulang semula ke Jordan pada 28 Februari lalu.
Wakil Kerajaan Negeri Selangor telah berhubung dengan Encik Hijaz Bin Ramli, pegawai Konsul di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah. Alhamdulillah, kesemua pelajar berkenaan telah ditempatkan di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah selama 1 malam, kemudian dipindahkan ke hotel berhampiran selama 2 hari sementara menunggu proses penghantaran pulang ke Jordan melalui jalan darat menggunakan Bas pada 3 Mac, jam 10.30pagi waktu Jeddah (3.30 petang waktu Malaysia). Perjalanan pulang mereka dijangka mengambil masa 24 jam untuk sampai ke destinasi yang dituju. Bersama-sama 7 orang pelajar Selangor ini juga terdapat 12 orang pelajar Malaysia Jordan yang turut mengalami nasib yang sama.
Kerajaan Negeri Selangor merakamkan ucapan penghargaan kepada Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah atas bantuan mobilisasi serta perlindungan yang telah diberikan kepada semua pelajar yang terlibat.
Kerajaan Negeri Selangor akan terus memantau perkembangan yang berlaku di Timur Tengah dengan tujuan memastikan kebajikan dan keselamatan anak Selangor di Timur Tengah sentiasa terpelihara.





