Kejohanan Tarik Tali Piala Ahli Parlimen Gombak 2.0
Program seterusnya di Gombak, Kejohanan Tarik Tali Piala Ahli Parlimen Gombak 2.0 di Dewan Rakyat Batu Caves, yang dianjurkan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69.
Kejohanan tarik tali mempunyai sejarah tersendiri di Gombak. Mula dianjurkan sejak tahun 2008 dan terus mendapat sambutan masyarakat setempat sehingga hari ini. Kali ini, sebanyak 30 pasukan daripada pelbagai negeri, kelab dan latar belakang menyertai kejohanan, termasuk pasukan masyarakat Orang Asli.
Para peserta berentap dalam empat kategori, iaitu Tertutup Selangor 680kg, Lelaki 680kg, Bawah 23 Tahun 640kg dan Tradisional 680kg.
Saya turut diberi peluang meniup wisel bagi perlawanan antara Selfire A dan Selfire B sebagai simbolik bermulanya kejohanan. Kedua-dua pasukan yang mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mempamerkan semangat berpasukan dan daya juang yang cukup tinggi.
Tarik tali bukan sekadar menguji kekuatan fizikal. Sukan ini menuntut keserasian, disiplin dan semangat berpasukan, sekali gus menjadi wadah yang mampu mengeratkan hubungan serta menyatukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
Insya-Allah, saya akan terus menyokong usaha memperkasa sukan tarik tali agar dapat terus berkembang, termasuk diberikan ruang lebih besar dalam SUKMA serta diketengahkan ke peringkat antarabangsa pada masa hadapan.
Selamat bertanding kepada semua pasukan. Tarik kuat-kuat, jangan bagi peluang!














