Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA)
Sepanjang Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) berlangsung, Selangor telah menjuarai SUKMA sebanyak sembilan kali. Tahun ini, di bumi bertuah, di hadapan rakyat dan penyokong Merah Kuning, Kerajaan Negeri menyasarkan kejayaan kali ke-10. Ini sasaran dan matlamat kita bersama.
Kontinjen Selangor tahun ini terdiri daripada 1,029 orang termasuk 854 atlet yang disasarkan meraih sekurang-kurangnya 80 pingat emas. Ini sasaran yang tinggi namun kita sendiri harus percaya pada kemampuan atlet-atlet negeri kita.
Sebagai tanda penghargaan, Kerajaan Negeri menawarkan insentif RM10,000 bagi setiap pingat emas individu hingga kumpulan bertiga. Ini satu ganjaran yang juga berupa pengiktirafan terhadap titik peluh mereka.
Jika Selangor berjaya menjadi juara keseluruhan SUKMA, insentif itu dinaikkan kepada RM15,000 setiap pingat emas. Saya harap insentif Kerajaan Negeri ini akan melonjakkan semangat atlet kita melalui sokongan ini.
SUKMA XXII mempertandingkan 469 acara daripada 37 jenis sukan dari 15 hingga 24 Ogos 2026. Setiap acara adalah peluang untuk atlet Selangor membuktikan kehebatan mereka di hadapan seluruh rakyat Malaysia.
Saya turut menyeru seluruh rakyat Negeri Selangor agar kita sama-sama turun ke semua gelanggang bagi memberikan sepenuh sokongan dan dukungan untuk atlet negeri kita.



