Jogging Dan Tabata
Kerja tetap kerja, riadah jangan lupa. Sebelum SIBS@ASEAN 2026 Bandung Edition bermula secara rasmi pagi ini, saya bersama Diana sempat berlari di Lapangan Gasibu, trek biru yang terkenal betul-betul di hadapan Gedung Sate, ikon Kota Bandung.
Lima pusingan penuh, hampir 2km, disambung pula dengan sesi tabata untuk menaikkan lagi degupan jantung. Suasana pagi Gasibu benar-benar hidup, dipenuhi warga tempatan yang berlari, berjalan dan bersenam. Rupanya semangat menjaga kesihatan ini sama sahaja di mana jua kita berada.
Walaupun jadual di perantauan padat, saya cuba kekalkan rutin bersenam setiap pagi. Badan yang cergas membantu minda kekal fokus sepanjang hari yang panjang. Seperti kata pepatah, akal yang sihat lahir daripada tubuh yang sihat. Ayuh kita sama-sama amalkan gaya hidup sihat, di mana sahaja kita berada.








