Jaulah Ramadan Komuniti KPM & Majlis Berbuka Puasa Bersama YB Menteri Pendidikan
Menghadiri Program Jaulah Ramadan Komuniti anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia bersama Kerajaan Negeri di SMK Sungai Pusu, Gombak. Turut hadir berbuka puasa bersama-sama, YB Menteri Pendidikan, Puan Fadhlina Sidek.
Program ini menghimpunkan pelajar, bakal guru IPG, wakil tenaga pendidik, PIBG, ibu bapa dalam usaha memperkukuh hubungan antara warga KPM dan masyarakat, menyemarakkan penghayatan Ramadan serta memperjelas Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 sebagai hala tuju pendidikan negara.
Dalam sesi ini, saya berkongsi beberapa inisiatif Kerajaan Selangor yang wajar diperluaskan ke peringkat Persekutuan, termasuk Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang membantu pelajar meningkatkan pencapaian akademik.
Dengan kira-kira 15,000 pendaftaran murid Tahun 1 antara tertinggi di negara ini ianya membuktikan keyakinan rakyat terhadap komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkasa pendidikan.
Majlis turut diserikan dengan solat Maghrib secara berjemaah sebelum kami berbuka puasa dalam suasana santai bersama para pelajar di Dewan Makan sekolah ini.
Moga program seperti ini terus menjadi wadah mempererat hubungan antara pemimpin, pendidik dan pelajar demi masa depan pendidikan yang lebih cemerlang untuk rakyat Malaysia.









