Inisiatif

Siaran Akhbar
21/2/20
Isu

Isu Pewartaan Keluar Hutan Simpan Kuala Langat.

Saya telah mendengar dan membaca pandangan dan kritikan terhadap cadangan pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat.

Harus saya maklumkan bahawa warta tersebut masih belum dikeluarkan, sebaliknya masih melalui proses penyediaan laporan bertulis dan hebahan serta notis penyiasatan awam. Proses ini akan berlangsung sehingga 5hb Mac 2020.

Ini bermakna Kerajaan Negeri Selangor sedang mendapat maklum balas daripada semua pihak berkepentingan, khususnya rakyat umum, masyarakat Orang Asal dan NGO.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak akan membuat keputusan berkenaan isu ini sebelum meneliti setiap pandangan daripada rakyat umum serta menghalusi laporan-laporan teknikal yang merangkumi analisa kos faedah berkait dampak keputusan ini.

Selangor satu-satunya negeri di Malaysia yang menjalankan proses penyiasatan awam berhubung status Hutan Simpan Kekal dan ini hanyalah langkah ketiga daripada sembilan tahap sebelum sebarang keputusan dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Harus saya tekankan di sini komitmen Kerajaan Negeri untuk mensasarkan peratusan jumlah Hutan Simpan Kekal di negeri Selangor meningkat sebanyak 32 peratus menjelang 2025 berbanding sekarang pada 31 peratus yang meliputi kawasan kira-kira 250,209 hektar termasuk Hutan Darat Asli, Hutan Paya Gambut dan Hutan Paya Laut.

Sebarang pewartaan keluar Hutan Simpan Kekal akan digantikan terus dengan pewartaan masuk Hutan Simpan Kekal dengan jumlah keluasan dan keadaan ekologi yang sama. Terdapat lebihan 300 ekar berbanding jumlah asal yang akan diganti dalam cadangan pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara ini.

Kami di pejabat YB Amirudin Shari dan Kerajaan Negeri turut memperakui hak Orang Asal di bawah undang-undang seperti yang diputuskan dalam kes Sagong Tasi. Pentadbiran ini akan mencari penyelesaian yang terbaik agar penempatan Orang Asal tidak diganggu. Sebarang pertikaian berkenaan hal ini akan dinilai semula.

Saya berterima kasih kepada semua atas pandangan yang diberi dan mengajak semua pihak berkepentingan untuk mengemukakan maklum balas berkenaan perkara ini sehingga 5hb Mac 2020.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.