Media

Terkini
27/11/20
Isu
Air
Selangor

Harian Metro: Tindakan pantas berjaya halang pencemaran sungai

Berita terbit di hmetro.com.my pada 27 November 2020

Shah Alam: Tindakan pantas pihak berkuasa berjaya menghalang satu insiden pencemaran sisa kimia berhampiran Bandar Bukit Mahkota, Cheras, yang berpotensi menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, sisa dipercayai pelarut berbau busuk berwarna putih itu dikesan orang awam di salah satu lurang Indah Water Konsortium (IWK) di kawasan berkenaan.

"Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor menerima laporan mengenai pencemaran itu jam 10 malam seterusnya menghubungi Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) untuk tindakan segera.

"Sisa berkenaan didapati melimpah dari lurang itu seterusnya mengalir ke tasik yang terletak di sebuah rumah kelab berdekatan kawasan itu.

"Tindakan segera yang kita lakukan ialah meletakkan 20 beg karbon aktif di tasik berkenaan untuk menyekat dan meneutralkan sisa kimia itu daripada terus mengalir ke Sungai Beranang," katanya ketika ditemui di Dewan Annex, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Beliau berkata, sisa kimia yang berbau seakan pewarna rambut itu kemudian disedut menggunakan dua lori IWK dan kerja pembersihan berkenaan selesai pada jam 2 pagi.

Katanya, loji IWK di kawasan itu juga terpaksa ditutup semalam bagi membolehkan kerja pembersihan dilaksanakan.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata, jarak lokasi loji IWK ke tasik berhampiran ialah kira-kira satu kilometer saja.

"Kita mengesyaki dalang kegiatan itu melakukan pembuangan bahan terlarang dengan menggunakan lori bagi mengelakkan daripada dikesan.

"Sekiranya tiada tindakan pantas semalam, penutupan loji mungkin berlaku berikutan air tercemar itu dijangka akan dibawa ke LRA Semenyih dalam tempoh 10 jam," katanya.

Menurutnya, kejadian itu adalah insiden pencemaran kali ketiga pernah berlaku di lokasi berkenaan sejak 2018.

Seterusnya
SELANGOR MAJU BERSAMA
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.