Media

Peristiwa
2/3/21
Selangor

Harian Metro: Rentak Selangor raih 62,000 tontonan maya

Shah Alam: Program Rentak Selangor berjaya meraih tontonan 62,000 ketika ditayangkan secara langsung di Facebook yang menampilkan pelbagai seni dan budaya komuniti negeri itu, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan negeri, Borhan Aman Shah berkata, tayangan selama satu jam dan jumlah tontonan itu disifatkan luar biasa kerana julung kali dianjurkan secara langsung dalam format baharu melalui media sosial.

"Rentak Selangor dilaksanakan seiring dengan usaha kerajaan negeri bagi meneroka inisiatif pendigitalan yang mampu memberi manfaat kepada rakyat khususnya generasi akan datang.

"Ia dijalankan bagi membantu mempromosi kepelbagaian seni dan budaya Selangor dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan ketika ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siaran langsung di Facebook itu menyajikan persembahan komuniti Melayu, Cina, India dan orang asal seperti seni muzik cempuling, angklong, Gordang 9 serta tarian singa.

Menurutnya, beliau yakin program seperti itu mampu membantu mereka yang terbabit dalam industri pelancongan khususnya artis budaya untuk meneruskan kelangsungan dalam norma baharu.

"Secara tidak langsung ia memberi santapan minda kepada masyarakat terutama generasi muda yang bakal mewarisi peradaban dan warisan ditinggalkan kepada mereka.

"Justeru, semua masyarakat Malaysia diseru supaya bersama-sama menghayati, menikmati dan meraikan seni warisan budaya kita.

"Program itu sudah diperkenalkan kepada umum sejak 2016 sebagai usaha menyemarak seni, budaya dan warisan dengan menyediakan landasan persembahan di Selangor khususnya," katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.