Suara

Peristiwa
17/10/22
Selangor

FMT: Selangor lebih baik selepas kamu tiada, Amirudin bidas Azmin

Berita terbit di freemalaysiatoday.com pada 16 Oktober 2022.

PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor Amirudin Shari membidas Azmin Ali yang mendakwa Selangor merosot selepas beliau meninggalkan pejabat menteri besar pada 2018.

Menurut Amirudin, prestasi negeri paling maju di Malaysia itu sebenarnya lebih baik selepas 2018 termasuk pengenalan lebih banyak program kebajikan untuk rakyat.

“Sejak beliau meninggalkan Selangor, prestasi ekonomi Selangor meningkat baik, sumbangan keluaran dalam negara kasar (KDNK) kepada Malaysia meningkat dan program kebajikan kepada rakyat juga bertambah.

“Selangor makmur bukan hasil kejayaan seorang individu sahaja tetapi usaha berpasukan,” tulis Amirudin di Twitter yang turut menggunakan tanda pagar #janganperasan #jangansyoksendiri.

Amirudin yang menggantikan Azmin pada 2018 turut berkongsi graf menunjukkan sumbangan KDNK Selangor meningkat berperingkat sehingga 24.8 % pada 2021 daripada 23.2% ketika Azmin masih di pejabat menteri besar pada 2017.

Sumbangan Selangor bagi sektor pembuatan yang merekodkan 32 % daripada KDNK pada 2021 juga tertinggi dalam kalangan negeri lain.

Terdahulu, media melaporkan Azmin mendakwa prestasi Selangor merosot selepas dia meninggalkan pejabat menteri besar pada 2018.

“Lepas saya tinggal (jawatan menteri besar) nampak merosot prestasi (Selangor).

“Jadi tanggungjawab saya mahu mengekalkan kecemerlangan Selangor supaya Selangor akan terus membangunkan memberi manfaat semua rakyat Selangor dan kita dapat menjalin satu kerjasama baik dengan kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya menurut Astro Awani.


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.