Festival Kebudayaan Orang Asli
Hari ini saya berpeluang merasmikan Festival Kebudayaan Orang Asli sempena Sambutan Hari Orang Asal Sedunia Peringkat Negeri Selangor 2025 di Kampung Orang Asli Kelinsing, Sepang.
Sambutan ini adalah pengiktirafan terhadap peranan penting masyarakat Orang Asli dalam warisan, sejarah dan masa depan negeri. Mengangkat tema sambutan tahun ini, “Indigenous Peoples and AI: Defending Rights, Shaping Futures”, selari dengan usaha Selangor membangunkan inisiatif Teraju AI yang turut memberi ruang kepada masyarakat Orang Asli memanfaatkan teknologi untuk memelihara bahasa, sejarah dan adat, serta meningkatkan akses pendidikan, kesihatan dan pembangunan.
Kerajaan Negeri komited melindungi hak tanah adat, meningkatkan kebajikan, menyediakan infrastruktur asas dan peluang pendidikan agar tiada anak Orang Asli tercicir. Usaha baik pulih rumah, program Iltizam Selangor Penyayang dan projek pembangunan sosioekonomi terus diperkasa demi kesejahteraan komuniti ini.
Festival yang berlangsung selama dua hari ini juga menjadi wadah mempamerkan seni, budaya, makanan tradisional dan kraf tangan unik yang wajar terus dipelihara. Terima kasih kepada semua pihak yang berganding bahu menjayakan penganjuran kali ini.
Ayuh kita bersama memperkasa komuniti Orang Asli sebagai sebahagian penting daripada masyarakat majmuk Negeri Selangor, demi negeri yang makmur, inklusif dan berdaya tahan.








