Daulat Tuanku
Patik mewakili rakyat jelata, kepimpinan pentadbiran serta barisan penjawat awam Kerajaan Tuanku, merafak sembah taat setia dan menjunjung kasih setinggi-tinggi tahniah buat Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Selangor Darul Ehsan serta segala daerah takluknya bersempena Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku ke-80.
Patik berdoa ke hadrat Ilahi, semoga DYMM Tuanku dilimpahi rahmat, dilanjutkan usia dan sentiasa berada dalam perlindungan Allah SWT. Patik-patik sekalian senantiasa mendoakan agar Tuanku dan DYMM Tengku Permaisuri serta kerabat diraja dikurnia dan dilimpahi rahmat, keberkatan, kemuliaan, keafi’atan serta dipelihara keselamatan yang baik hendaknya. Doa sekalian rakyat juga dipanjatkan ke hadrat Allah SWT untuk Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini binti Dato Abdul Aziz seterusnya kepada puteri-puteri dan adinda-adinda Tuanku,waris-waris serta kerabat diraja sekalian, semoga berada dalam keadaan kesejahteraan, dikurniakan taufik dan hidayah oleh Allah SWT.
Ulang Tahun Keputeraan DYMM Tuanku ke-80 ini mempunyai makna yang lebih mendalam bagi seluruh rakyat jelata kerana berada pada ambang Sambutan Jubli Perak sempena 25 tahun Pemerintahan Tuanku, dan sepanjang tempoh ini, patik dan rakyat jelata telah mengecapi keprihatinan DYMM Tuanku terhadap kemaslahatan masyarakat serta kesentosaan negeri.
Sekali lagi patik mewakili rakyat jelata mendoakan Duli Yang Maha Mulia Tuanku senantiasa dilindungi Allah SWT agar Tuanku terus kekal qarar bersemayam di atas singgahsana dengan penuh kedaulatan dan kebesaran.
Daulat Tuanku
Dirgahayu Tuanku



