Media

COVID-19
9/7/21
Isu
Bantuan
Pakej Kita Selangor 2.0
Selangor
Negara

BHTV: Katil depan Jabatan Kecemasan HTAR hanya tempat menunggu

SHAH ALAM: Penempatan katil mudah alih di hadapan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) hanyalah bersifat sementara.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam negeri, Dr Siti Mariah Mahmud, berkata beliau difahamkan katil mudah alih itu disediakan untuk kemudahan pesakit COVID-19 berehat seketika bagi menunggu giliran.

"Saya akui ini situasi terburuk berlaku di Malaysia, dulu pun ada yang duduk atas pengusung (kerana tidak cukup katil), tetapi tidak pernah sehingga di ruang luar Jabatan Kecemasan.

"Saya difahamkan, mereka hanya duduk di katil mudah alih itu untuk menunggu giliran (bagi proses seterusnya).

"Mereka menerima rawatan seperti biasa daripada doktor, tidak dibiarkan begitu saja dan hari ini (semalam) tiada lagi katil berkenaan di situ," katanya pada sidang media selepas menyerahkan Home Assessment Tools (HAT) kepada Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Stadium Malawati, Seksyen 13, di sini, hari ini.

Sejak semalam, tular beberapa gambar memaparkan pesakit COVID-19 berbaring di atas katil mudah alih di perkarangan HTAR sehingga ke pondok pengawal yang menggemparkan warga maya.

Berdasarkan gambar tular itu, setiap katil mudah alih dialas plastik biru dan dipercayai kawasan berkenaan dipantau pengawal keselamatan.

Mengulas perkembangan proses vaksinasi pula, Dr Siti Mariah berkata, Selangor memerlukan lebih ramai pegawai perubatan sebagai vaksinator dalam mempercepatkan proses vaksinasi dijalankan.

Beliau berkata, difahamkan bagi bulan ini, bekalan vaksin lebih empat juta dos akan sampai ke Selangor dan penambahan jumlah vaksinator diperlukan seiring jumlah dan kapasiti Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini.

"Dari segi penempatan untuk PPV dan bekalan vaksin tiada masalah di Selangor, tetapi kita berdepan kekurangan pegawai perubatan sebagai vaksinator," katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.