Suara

Peristiwa
24/5/21
Selangor

BH TV: Tabung Selangor Peduli Palestin sasar RM1 juta

SHAH ALAM: Tabung Selangor Peduli Palestin yang dilancarkan menerusi Misi Selangor Peduli Palestin, hari ini menyasarkan kutipan RM1 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kempen 10 hari itu akan digerakkan melalui kolaborasi strategik bersama badan bukan kerajaan (NGO) Global Peace Mission Malaysia.

"Kerajaan negeri menyasarkan kutipan berjumlah RM1 juta melalui pengumpulan sumbangan yang akan diselaraskan melalui kerajaan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), anak syarikat kerajaan negeri, syarikat swasta serta individu peribadi yang ingin menyumbang.

"Dalam pada itu, pihak Bendahari Selangor juga baru meluluskan satu tabung khas yang dinamakan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin yang akan mengutip dana daripada individu atau syarikat.

"Kutipan dana ini akan digunakan bagi misi bantuan kemanusiaan di kawasan lain," katanya pada sidang media di Bangunan SUK Selangor, hari ini.

Beliau berkata, penyumbang sumbangan itu akan dipertimbangkan pengecualian cukai mengikut syarat-syarat yang akan ditetapkan.

Katanya, hasil sumbangan Tabung Selangor Peduli Palestin akan disalurkan kepada rakyat negara itu dalam bentuk ambulans dan kenderaan pelbagai guna yang akan dilengkapi dengan ubat-ubatan.

"Ubat-ubatan yang menjadi satu keperluan yang sangat mendesak di Palestin terutamanya di Gaza yang menerima serangan daripada Israel.

"Bantuan berkenaan akan diberikan terus kepada rakyat Palestin melalui Global Peace Mission Malaysia," katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.