Bersama-sama dengan warga Air Selangor dalam sebuah ruang dialog, Town Hall Air Selangor 2026.
Alhamdulillah, bulan pertama tahun 2026, saya telah bersama-sama dengan warga Air Selangor dalam sebuah ruang dialog, Town Hall Air Selangor 2026.
Saya berkongsi realiti bahawa purata penggunaan air di Selangor masih tinggi, malah melebihi beberapa negara jiran. Sebab itu, pembudayaan sikap jimat air perlu bermula dari rumah.
Dalam masa yang sama, keterjaminan air mentah kekal sebagai keutamaan. Selangor berdepan risiko pencemaran sungai, kemarau serta kesan perubahan iklim. Melalui Skim Jaminan Air Mentah, Kerajaan Negeri mempelbagaikan sumber bekalan, memperkukuh kerjasama antara agensi, dan memastikan kelestarian alam sekitar demi keselamatan air jangka panjang.
Usaha ini selari dengan agenda pembangunan lestari dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), khususnya Matlamat 6 (Air Bersih dan Sanitasi), Matlamat 11 (Bandar dan Masyarakat Lestari) serta Matlamat 13 (Tindakan Iklim). Pelaksanaan Skim Bekalan Air Rasau yang sedang berjalan bakal memberi manfaat kepada hampir tiga juta pengguna di Klang, Petaling dan Kuala Langat, manakala Skim Air Darul Ehsan (SADE) terus menjadi bukti komitmen kerajaan negeri menyediakan air terawat yang selamat, bersih dan percuma kepada isi rumah berkelayakan.
Pengurusan air juga merupakan antara 5 bidang tumpuan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) melalui tiga tonggak utama iaitu meningkatkan kualiti sumber air, mengurangkan penggunaan air dan non-revenue water (NRW), serta menyesuaikan sistem bekalan dengan risiko iklim. Inisiatif ini akan diteruskan dalam Rancangan Selangor Kedua (RS-2) dan dijangka menjana nilai ekonomi sehingga RM500 bilion.
Air adalah amanah bersama. Dengan perancangan rapi, tadbir urus yang baik dan sokongan rakyat, kita mampu memastikan keselamatan air Selangor yang mampan untuk generasi akan datang.




















