Inisiatif

COVID-19
1/9/21
Isu
Selangor
Bantuan

Berita Harian: Selangor serah 20,000 dos vaksin percuma kepada Pulau Pinang

BUTTERWORTH: Kerajaan Selangor hari ini menyerahkan sumbangan 20,000 dos vaksin kepada Pulau Pinang dalam usaha membantu mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negeri itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata sumbangan vaksin secara percuma kepada Pulau Pinang dan beberapa negeri lain dibuat selepas melihat trend penurunan kes di Selangor.

Katanya, kapasiti penggunaan katil di Selangor kini berkurangan daripada 130 peratus kepada 88 peratus, iaitu 50 peratus lebih rendah berbanding jumlah kes sebelum ini.

"Dalam soal ini, kita melihat kalau kita tidak melakukan sesuatu untuk vaksinasi segera di Pulau Pinang dan beberapa negeri lain, kemungkinan lonjakan kes akan berlaku sebagaimana pengalaman kita di selangor.

"Jadi pada hari ini, sempena hari kemerdekaan negara, sebagai tanda solidariti, kita berikan sumbangan 20,000 dos vaksin untuk sama-sama menggerakkan PICK dengan pantas. Kita percaya ia mampu mengurangkan kes COVID-19," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan sumbangan berkenaan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) SP Arena, Seberang Jaya, di sini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, tanggungjawab pemberian vaksin masih terletak di bawah kelolaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau kapasiti kerajaan Persekutuan.

"Apa yang dilakukan Selangor adalah meningkatkan kapasiti dengan tambahan nilai yang kita mampu untuk membantu Pulau Pinang dan beberapa negeri lain. Ini kerana kita pernah berdepan kekurangan dan kelewatan bekalan sebelum ini," katanya.

Berdasarkan rekod Jawatankuasa Jaminan Khas Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) sehingga Jumaat, seramai 1.14 juta rakyat Pulau Pinang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin meliputi 6.4 peratus daripada populasi keseluruhan.

Dalam tempoh itu, sebanyak 55.7 peratus daripada populasi dewasa di Pulau Pinang telah lengkap divaksin, manakala inokulasi di Lembah Klang membabitkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor pula mencapai 81.4 peratus dos pertama dengan 91.1 peratus warga dewasa lengkap divaksin.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.