Inisiatif

Peristiwa
19/1/23
Selangor

Berita Harian: Selangor adakan pameran pembangunan Kompleks Stadium

SHAH ALAM: Kerajaan negeri akan menganjurkan pameran awam berhubung pembangunan Stadium Shah Alam dijangka hujung bulan ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ketika ini kerajaan negeri dalam proses permohonan Kebenaran Merancang (KM) bagi pembangunan stadium itu untuk mendapat kelulusan pihak berwajib.

"Insha-Allah, hujung bulan ini atau selepas Tahun Baharu Cina kita akan buat pameran awam di tapak yang akan ditetapkan nanti yang boleh dikunjungi orang ramai.

"(orang ramai) boleh memberi cadangan terhadap replika.. contohnya pelan bangunan dan sebagainya, di samping proses permohonan KM dibuat," katanya ketika diminta mengulas perkembangan terkini mengenai stadium itu.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Konvensyen Halal Antarabangsa Selangor (SELHAC) di Hotel Concorde di sini hari ini.

Jelas Amirudin, proses pembangunan Stadium Shah Alam masih dalam landasan dan mengikut jadual yang ditetapkan.

"Jadi (setakat ini), masih lagi 'right track' sasaran kita pada suku pertama..

bulan ini hingga bulan April kita boleh mulakan sebahagian pembinaan (stadium) dan sebagainya," katanya.

Julai tahun lalu, kerajaan negeri mengumumkan salah satu mercu tanda Selangor dan fasiliti sekitarnya bakal berwajah baharu menerusi kerjasama dengan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) membabitkan anggaran kos keseluruhan RM787 juta.

Sementara itu beliau turut mengulas mengenai tindakan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor yang menyita kawasan Pantai Sungai Kajang, Tanjong Karang.

Katanya, tindakan itu adalah langkah memelihara hutan paya bakau dan beliau difahamkan kawasan tumpuan itu termasuk dalam lingkungan rizab paya bakau.

"Jadi kita tak nak ada pencerobohan sebab permintaan daripada penduduk dahulu untuk pelihara kawasan itu. Jadi peliharalah.

"Ada laporan pencerobohan (kawasan), penebangan (pokok). Jadi ini kawasan lindungan paya bakau dan jabatan hutan ambil tindakan awal supaya tidak diceroboh," katanya.

Semalam Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi menggesa jabatan perhutanan memberi penjelasan berkenaan tindakan sita yang dibuat minggu lalu.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.