Media

COVID-19
22/1/21
Isu
Selangor
Negara

Berita Harian: PKP di 7 negeri dilanjutkan hingga 4 Februari

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di tujuh negeri yang sebelum ini dijadual tamat pada Selasa depan dilanjutkan hingga 4 Februari ini.

Negeri berkenaan ialah Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Kelantan serta Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan).

Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian risiko dan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) selepas semua negeri berkenaan masih menunjukkan trend peningkatan kes positif harian COVID-19.

"Susulan lanjutan tempoh berkenaan, tarikh tamat kuat kuasa di semua negeri yang dikenakan PKP kini adalah sama," katanya pada sidang media, hari ini.

"Mengenai situasi semasa di Pulau Pinang hingga semalam, sebanyak 6,540 kes positif COVID-19 direkodkan dengan 2,310 kes dicatatkan bagi tempoh 14 hari bermula 7 Januari lalu hingga 20 Januari.

"Semua daerah kini berada dalam zon merah dengan dua daerah merekodkan kes tertinggi iaitu Barat Daya (915 kes) dan Timur Laut (598 kes)," katanya.

Di Selangor pula secara kumulatif sebanyak 50,636 kes positif COVID-19 direkodkan di negeri itu, dari 7 hingga 20 Januari, KKM mengesahkan berlaku penularan tempatan yang tinggi di negeri itu yang mana secara purata kes harian melebihi 1,000 kes dilaporkan dalam tempoh 14 hari itu.

Empat daerah pula mencatat jumlah kes tertinggi iaitu Klang (4,403), Petaling (3,125), Hulu Langat (2,550) dan Sepang (1,203).

Peningkatan kes turut direkodkan di Melaka iaitu sebanyak 2,370 kes positif dan semua daerah di negeri itu kini berada dalam zon merah. KKM turut mengesahkan trend jangkitan COVID-19 semakin meningkat dalam komuniti di negeri ini ketika ini.

Selain itu, di Kuala Lumpur 19,411 kes positif COVID-19, Putrajaya (637) dan Labuan (1,919) direkodkan di tiga wilayah ini.

Ismail Sabri berkata, tidak ketinggalan di Johor yang mana kes harian dilaporkan masih tinggi iaitu purata 405, yang mana lapan daerah berada dalam zon merah serta dua daerah zon jingga.

Kelantan juga berdepan situasi yang sama iaitu sebanyak 2,387 kes positif COVID-19 direkodkan dengan 1,208 kes direkodkan dalam tempoh 14 hari.

Sementara itu, Sabah merekodkan 45,008 kes positif COVID-19 dengan 6,027 kes direkodkan dalam masa 14 hari, 7 hingga 20 Januari.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri turut mengumumkan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Asrama Westlite, Taman Perindustrian Tampoi Jaya, Johor Bahru mulai esok, susulan penilaian KKM yang mendapati trend kes COVID-19 menunjukkan penurunan di lokaliti itu.

Sepanjang tempoh PKPD di lokasi itu bermula 26 Disember lalu, seramai 1,585 penghuni menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu, 682 penghuni positif COVID-19 dan kes terakhir dilaporkan 15 Januari lalu.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan bercadang menaikkan denda bagi kesalahan kompaun mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang ketika ini hanya berjumlah RM1,000.

Perkara itu katanya, sudah dibawa kepada Peguam Negara untuk diteliti dalam kadar segera.

"Sewaktu darurat ini, ordinan boleh digubal berkaitan COVID-19, kita dapati salah satu perkara menyebabkan kegagalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kerana undang-undang dan hukuman rendah.

"Denda kepada syarikat sekarang RM1,000 mungkin boleh tambah maksimum RM100,000," katanya.


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.